Dream big!
Steven R. Covey mengatakan bahawa manusia sebenarnya boleh berubah melalui perubahan kematangan dalam hidup daripada seorang yang ‘dependant’ kepada seorang yang ‘independent’, daripada cemerlang jika bersendirian kepada lebih cemerlang apabila disinergikan dalam kerja-kerja berpasukan dengan istilahnya ‘interdependent’.
Seseorang yang independent memiliki tiga sikap utama iaitu sentiasa proaktif, setiap kerja berpandukan ‘big dream’ yang telah distrategikan dan sentiasa mendahulukan kerja yang lebih utama. Inilah tiga sikap yang menjadikan seseorang boleh berjaya dalam apa juga bidang. Penemuan Covey telah mengubah masyarakat barat.
Sebenarnya saya tidak perlu membawa pendapat barat ini untuk memantapkan artikel saya ini kerana Islam telah memiliki segala-galanya tetapi saya kemukakan juga sebab orang Melayu sanggup membayar yuran lebih seribu ringgit untuk mendengar idea-ideanya.
Dalam al-Quran Allah menegaskan bahawa; untuk mengubah kelemahan sesuatu kaum hendaklah dengan mengubah kelemahan dalaman mereka.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu (kelemahan, kehinaan, kemiskinan) sehingga mereka mengubah (kelemahan, kehinaan, kemiskinan) yang ada dalam diri mereka.” [Ar-Ra’d, 13: 11]
Kelemahan dalaman adalah kelemahan tasawwur terhadap asas-asas keimanan, kelemahan akhlak dan kelemahan keazaman. Kelemahan dalaman juga adalah kelemahan matlamat hidup dan pelan pelaksanaannya, kelemahan jatidiri dan kelemahan disiplin dalam kerja-kerja berpasukan. Semuanya ini adalah kelemahan dalaman diri manusia.
Umar al-Khattab meriwayatkan bahawa beliau mendengar nabi s.a.w. bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya setiap kerja bergantung dengan tujuannya, dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkan..”
Niat dan tujuan adalah objektif dan matlamat yang ingin diperolehi daripada kerja-kerja yang dibuat dalam hidup samaada matlamat di dunia maupun di akhirat.
Amat berbeza orang yang meletakkan matlamat mereka untuk berjaya di akhirat dengan orang yang hanya mengejar dunia. Amat berbeza orang yang bercita-cita untuk membawa Rahmat ke seluruh dunia dengan orang yang mementingkan diri sendiri. Amat berbeza orang yang memiliki manhaj yang jelas dalam melahirkan insan yang soleh dengan orang yang menyerahkan urusan pendidikan anak-anaknya kepada pihak lain yang tidak jelas arah tujunya. Amat berbeza orang yang memiliki perniagaan sendiri dan bercita-cita untuk membina emapayar kekayaan untuk ummah dengan mereka yang hanya bekerja membesarkan empayar kekayaan bangsa lain.
Apabila manusia tidak memiliki matlamat hidup yang besar, mereka akan bergaduh disebabkan perkara remeh seperti kanak-kanak yang bergaduh kerana berebut barang mainan. Akan tetapi, Allah mengubah manusia dengan manhaj(sistem) yang tersendiri; sentiasa mendengar wahyu-wahyu Allah, sentiasa menyucikan dalaman mereka daripada syirik, khurafat dan sifat-sifat tercela, mempelajari hukum-hukum Allah dan ilmu kebijaksanaan. Dan proses ini dinamakan sebagai proses – tarbiyyah.
Inilah celupan Allah, inilah acuan Allah dalam mengubah Umar al-Khattab, Uthman Affan, Musab bin Umair dan seluruh generasi sahabat radiallahu ‘anhum. Inilah sibghatullah. Allah Azza wa Jalla telah mengubah generasi sahabat daripada identiti Arab terpencil, tidak dikenali, tidak bertamaddun, berperang sesama sendiri hanya kerana sebab paling leceh menjadi generasi unggul yang telah mengubah sejarah ketamadunan dunia.
“Acuan Allah, dan siapakah yang lebih baik daripada Allah acuannya, dan kepadaNyalah kami memperhambakan diri”[ Al-Baqarah, 2: 138]
Sebelum Steven Covey Imam al-Syahid Hassan al-Banna sudah menegaskan bahawa:
Sesuatu fikrah hanya akan berjaya apabila,
Kuat keimanan kepadanya, wujud keikhlasan dalam meperjuangkannya, semangat yang berkobar-kobar dan wujud persediaan yang membuahkan pengorbanan dan amal untuk merealisasikannya.
Maka untuk memindahkan bangsa Melayu yang lemah, miskin, terpaksa bergantung kepada sokongan bangsa-bangsa lain, ‘dependant’ adalah dengan kembali kepada acuan Allah.
Kenapa bangsa kita masih mundur, miskin idea, miskin fikrah, miskin jiwa, tidak berjiwa ‘interdependent’ sehinggakan rasa kedekut untuk membangunkan keturunannya sendiri? Malah tidak ada ‘big dream’ dalam perancangan hidup. . .
Puncanya kerana bangsa Melayu tidak mendapat celupan Allah yang sebenar sejak daripada awal-awal kemerdekaan kita. Mereka tidak mempunyai agenda besar yang diperjuangkan sebaliknya hanya dependant kepada agenda yang ditentukan kepada mereka oleh barat sejak merdeka. Apakah bangsa kita akan berubah menjadi lebih baik di masa hadapan jika impian dan sikap mereka tidak berubah?
Bangsa Melayu perlu memiliki ‘big dream’ mereka sendiri berasaskan tuntutan Allah kepada manusia, bangsa Melayu perlu merangka strategi bagi mengembalikan jatidiri Islam sebenar dengan meggunakan manhaj Allah yang telah mengubah generasi sahabat, bangsa Melayu perlu bersikap proaktif dan mempunyai disiplin kerja berorganisasi yang tinggi walaupun ilmu ijtihad mereka sehebat Umar al-Khattab. Semuanya itu hanya akan berjaya melalui perlaksanaan manhaj tarbiyyah yang tersusun mantap dan realistik.
USTAZ ANNUAR SALLEH
YANG DIPERTUA ISMA
DAERAH HULU LANGAT
Blog: http://renungan2u.wordpress.com/
Editor: team risman
No comments:
Post a Comment